Pages

Wednesday 5 June 2013

Wanita patut dihormati, dilindungi








Angkat maruah, elak jadi mangsa jenayah seksual, penderaan

Tidak dapat dinafikan bahawa wanita pernah menjadi mangsa penindasan yang dilakukan melalui pendekatan sosial, undang-undang, ekonomi bahkan juga melalui budaya dan cara hidup yang menjadikan wanita sebagai golongan yang teraniaya. Tamadun Barat membuktikan hakikat itu melalui sekatan yang dilakukan ke atas wanita daripada mengundi dalam pilihan raya, memiliki harta dan sebagainya. 
Dalam dunia Islam pula, kita tidak pernah sunyi daripada kisah bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup kerana percaya dengan momokan bahawa zuriat perempuan akan memalukan keluarga dan menyebabkan kepapaan. Golongan wanita pula dipaksa bekerja tanpa belas kasihan, tidak boleh mempusakai harta dan boleh dicampuri dengan bebas, bahkan janda pula boleh diwarisi. 



-->



Islam angkat martabat wanita 

Sejak kedatangan wahyu sehinggalah ke hari ini, Islam mengangkat martabat wanita setaraf dengan lelaki dalam urusan ibadat. Dalam surah An-Nisaa’ ayat 124, Allah SWT berfirman yang bermaksud: ‘Dan sesiapa yang berbuat amal soleh dari lelaki atau perempuan, sedangkan dia adalah seorang yang beriman, maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga.’ 


Seperti lelaki, wanita juga boleh mewarisi harta. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisaa’ ayat 7 yang mafhumnya: ‘Untuk orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapanya dan kaum kerabatnya dan bagi orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kaum kerabatnya’. 

Bahkan Allah mengingatkan bahawa Dialah yang memberi rezeki kepada setiap makhluk di muka bumi. Justeru, kepercayaan bahawa anak perempuan akan menyebabkan kepapaan adalah satu iktikad karut dan akan menghancurkan akidah umat Islam. 

Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 31 yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah (Allah) memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.’ 

Dengan peringatan ini, wanita Islam di Malaysia tidak lagi diletakkan sebagai ‘manusia yang berbeza’ daripada lelaki dalam peruntukan undang-undang, melainkan dalam beberapa keadaan yang mana wanita diberi kedudukan yang lebih istimewa daripada lelaki demi memberi keadilan kepada mereka kerana sejarah dan sistem pernah menindas golongan ini.