Pages

Sunday 9 June 2013

Teguran cegah mungkar









Firman Allah SWT bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)". - (Surah Ali Imran, ayat 110). 


Teguran hendaklah dilakukan dengan secara hikmah dan bijaksana. Pendekatan terbaik perlu difikirkan untuk menghalang sesuatu kemungkaran daripada terus berlaku. 


Satu perkara yang perlu difahami oleh mereka yang ingin mencegah kemungkaran ialah kita hanya mampu berusaha, sedangkan hidayah untuk menerima dan berubah itu adalah milik Allah SWT. Hanya Dia yang Maha Pemberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Perkara ini perlu ditekankan kerana mereka yang melakukan kemungkaran sudah tentu akan bertindak balas dengan teguran atau sekatan yang dibuat untuk menghalang mereka. 

Tidak sedar lakukan kesalahan

Kita perlu ingat, bagi mereka yang melakukan perbuatan mungkar, pada mereka perbuatan itu tidak salah. Malah, dalam banyak hal mereka akan menyalahkan orang lain kerana tidak bersama-sama melakukan perbuatan mungkar itu. 

Pihak yang menegur bertujuan untuk mengajak orang melakukan kemungkaran itu agar kembali kepada jalan yang benar. Sesiapa yang melihat kemungkaran mesti berusaha menghalangnya, tanpa mengira siapakah dia. 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, dan sekiranya masih tidak mampu maka hendaklah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)

Panduan yang diberikan Rasulullah SAW itu menjelaskan mengenai kaedah untuk mencegah kemungkaran. Kita tidak semesti bertindak terburu-buru dan di luar perancangan. Ini bukan saja bagi memastikan ia mencapai kejayaan, bahkan lebih penting lagi agar usaha itu berhasil membawa lebih banyak kebaikan berbanding mudarat.

Jika dilakukan dengan terburu-buru, banyak perkara tidak mendatangkan hasil yang baik. Apa yang diharapkan akan berlaku sebaliknya. Kesilapan menegur boleh menyebabkan pihak ditegur merasakan hak mereka disekat. Sebab itu, kebijaksanaan dan kena cara perlu diutamakan dalam kerja dakwah.

Satu perkara yang perlu difahami oleh mereka yang ingin mencegah kemungkaran ialah kita hanya mampu berusaha, sedangkan hidayah untuk menerima dan berubah itu adalah milik Allah SWT. Hanya Dia yang Maha Pemberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.


-->

Tidak harus kecewa jika gagal

Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya berasa kecewa atau putus asa andainya apa yang dilakukan tidak berjaya. Apa yang penting kita telah laksanakan tugas seperti yang dikehendaki agama. 

Firman-Nya bermaksud: “Dan tetaplah memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang yang beriman” (Surah adz-Dzariyat, ayat 28).

Kita perlu terus berusaha dan pada masa yang sama menilai pendekatan yang telah dilakukan mungkin ada kelemahan yang perlu diperbaiki agar lebih berkesan pada waktu lain.

Ingatlah apa yang dilakukan semata-mata kerana tuntutan agama. Sekiranya apa yang dilakukan itu semata-mata kerana hendak mencari dan mendedahkan kesalahan orang lain, maka kesan lebih buruk mungkin berlaku. Perbuatan itu sudah dikira perbuatan adu domba dan fitnah. 

Berusahalah kita mencegah kemungkaran dan kemaksiatan untuk kebaikan semua. Perbuatan buruk yang tidak dicegah akan membawa perpecahan dalam masyarakat kerana sifat saling menyalahkan akan berlaku. Hubungan menjadi renggang dengan setiap kumpulan membawa haluan masing-masing. Satu kumpulan melakukan ketaatan, sedangkan satu kumpulan lagi bebas melakukan kemaksiatan.

Maruah dan kedudukan umat Islam bergantung kepada sejauh mana amalan mencegah kemungkaran dilakukan. Jadilah ummah yang sentiasa menyeru kepada kebaikan yang menjadi lambang keutuhan iman. 

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban bermaksud: “Seburuk-buruk kaum adalah tidak menyuruh berlaku adil dan seburuk-buruk kaum adalah tidak menyuruh kepada kebaikan dan tidak melarang kemungkaran.”